KUALA LUMPUR: Seramai 100 pelajar Diploma Mekatronik dari lima buah politeknik berjaya menamatkan Program Persijilan Sistem Mekatronik Siemens (SMSCP) tahap satu dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Majlis Graduasi, di sini, semalam.
Program tiga bulan itu disertai pelajar dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Syah, Jitra, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Politeknik Premier Ungku Omar, Ipoh, Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang dan Politeknik Premier Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik (JPP), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Mejar (K) Md Nor Yusof berkata, SMSCP adalah program antarabangsa ditubuhkan Siemens Technik Akademie Berlin pada 1998 bertujuan melatih pelajar dalam bidang kejuruteraan dan mekatronik.
“SMSCP adalah salah satu program di bawah Program Kebolehpasaran Graduan Politeknik diperkenalkan Siemens dan kementerian pada 2009. Program ini untuk memastikan institusi pengajian tinggi boleh menghasilkan graduan industri yang terlatih,” katanya.
Beliau berkata, terdapat 90 politeknik di seluruh negara dengan seramai 90,000 pelajar dan hanya lima terpilih untuk SMSCP kerana institusi berkenaan menawarkan kursus mekatronik. Presiden Siemens Malaysia, Prakash Chandran berkata, Malaysia perlu mempunyai pakar teknologi tersendiri yang bukan saja memahami keperluan negara ini tetapi mahir dalam ekonomi dunia.
No comments:
Post a Comment